Dunia Kejar, Akhirat Tinggal

Tersentak hati mendengar keluhan seorang sahabat, “Aku sibuk mencari rezeki, sehingga solat pun kadang tertinggal.” Berat rasa hati untuk menegur, namun iman yang masih bersisa mengajak diri untuk berkongsi satu persoalan: “Dunia ini engkau kejar, tetapi akhirat engkau tinggalkan?”

Kehidupan di dunia sering kali menjadi medan perlumbaan. Siapa yang paling cepat, siapa yang paling kaya, siapa yang paling berjaya. Kita diajar sejak kecil bahawa hidup ini perlu berusaha, mencari rezeki, membina kehidupan yang selesa. Namun, di celah-celah kesibukan itu, ada sesuatu yang sering kita abaikan—bekalan untuk kehidupan yang abadi. Apakah kita benar-benar memahami erti kejayaan, atau kita hanya berlari di atas jalan yang penuh fatamorgana?

Allah SWT mengingatkan dalam Al-Quran:

بَلْ تُؤْثِرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا ١٦ وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰٓ ١٧

“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’la, 87:16-17)

Ayat ini bukan hanya untuk orang kafir, tetapi untuk kita yang sering melebihkan dunia daripada akhirat. Kita mengejar keselesaan hidup di dunia seolah-olah itulah destinasi terakhir kita, sedangkan dunia hanyalah persinggahan sementara. Bagaimana kita boleh begitu yakin bahawa esok masih ada, sedangkan kematian sentiasa mengintai?

Ada masanya, kita mendengar tentang kematian seseorang yang sebaya dengan kita. Terasa sekejap masa berlalu, dan kita sendiri tertanya, “Bilakah giliran aku?” Namun, soalan ini jarang mendorong kita untuk berubah. Kita kembali hanyut dalam kesibukan dunia. Begitulah lemahnya manusia—mudah lupa, mudah lalai.

Rasulullah SAW bersabda:

“‏ مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا كُتِبَ لَهُ وَمَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ نِيَّتَهُ جَمَعَ اللَّهُ لَهُ أَمْرَهُ وَجَعَلَ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ ‏”

“Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran selalu di hadapannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya kecuali sekadar apa yang telah ditetapkan. Dan barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-citanya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina.” (HR Ibnu Majah: 4105 (bertaraf sahih))

Lihatlah bagaimana dunia ini sebenarnya hanyalah permainan. Kita sangka dengan kerja keras tanpa mengenal erti lelah, kita akan mendapat segalanya. Namun, dunia itu sendiri bersifat sementara. Rezeki yang kita kejar tidak akan pernah cukup, malah semakin kita mengejarnya, semakin jauh ia terasa.

Bagaimana seharusnya kita menyeimbangkan kehidupan? Tidak salah mencari rezeki. Tidak salah berusaha untuk dunia. Tetapi jangan sampai kita lupa, bahawa ada tanggungjawab yang lebih besar, iaitu persiapan menuju akhirat.

Solat jangan ditinggal. Zikir jangan dilupa. Sedekah biar berterusan. Jangan tunggu kaya baru mahu memberi, kerana tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Jangan tunggu tua baru mahu beribadah, kerana mati itu tidak mengenal usia.

Allah SWT berfirman:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (Surah Al-Qasas, 28:77)

Maka, jadikan dunia sebagai ladang untuk menuai hasil di akhirat. Kejar dunia sekadarnya, tetapi jangan tinggalkan akhirat. Kerana di penghujung hidup, yang tinggal hanyalah amal. Harta, pangkat, dan kemewahan, semuanya akan ditinggalkan. Yang akan menemani kita hanyalah solat yang kita jaga, sedekah yang kita hulurkan, dan zikir yang kita lafazkan.

Jangan sampai kita menyesal di saat nafas terakhir. Ketika dunia telah pergi, dan akhirat yang menanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *